KUALA KANGSAR - Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menggerakkan inisiatif menzahirkan rasa kebersamaan buat penduduk Palestin dengan memasang bendera negara tersebut bersama bendera negara Malaysia dan negeri Perak di beberapa lokasi tumpuan di sini.

Bendera Palestin turut dikibarkan di Wisma MPKK manakala lampu bewarna merah dan hijau sebagai lambang negara Palestin turut dipasang pada bangunan Menara Jam Besar dan juga bangunan Pavillion.

Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad berkata, seramai 10 anggota MPKK yang terlibat bagi kerja-kerja pemasangan bendera dan lampu tersebut.

“Lokasi tumpuan umum menjadi pilihan untuk mengibarkan bendera ini agar ia dapat dilihat oleh orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama.

“Diharapkan apabila mereka melihat bendera ini, mereka akan memanjatkan doa untuk keselamatan, kesejahteraan dan keamanan Palestin”, ujarnya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, MPKK pernah menzahirkan solidariti buat petugas barisan hadapan negara kita yang bertungkus lumus memerangi Covid-19 dengan memasang lampu bewarna biru di Wisma MPKK.

Kekejaman rejim Zionis Israel yang telah menyerang Masjid Al-Aqsa dan penduduk Palestin sejak penghujung Ramadan lalu tanpa belas kasihan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat dunia.

Sehubungan itu, sebagai tanda sokongan kepada mereka yang ditindas ini serta rasa kebersamaan, wajar kita memanjatkan doa dan menyalurkan bantuan kewangan jika mampu.

Diharapkan apa yang dilalui oleh penduduk Palestin akan berakhir dengan aman dan kekejaman kemanusiaan seperti ini dapat dihentikan.