IPOH – Ada laman media sosial tetapi tidak dimanfaatkan untuk menyebar luar maklumat kepada orang ramai.

Itu teguran warga maya berhubung laman media sosial Facebook Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak kerana tidak memaparkan sebarang maklumat yang wajar diketahui rakyat Perak memandangkan empat mukim dalam negeri ini akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerak Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa tengah malam ini.

Selain maklumat berkaitan prosedur operasi standard (SOP), turut disuarakan ialah tentang perincian garis panduan senarai bukan perkhidmatan perlu (non-essential services) dalam pelbagai bidang perkhidmatan agar para pengusahanya boleh membuat persediaan sama ada perlu untuk meneruskan operasi atau sebaliknya.

Ini kerana sehingga jam 3 petang hari ini, tiada sebarang panduan senarai dimuat naik dalam Facebook MKN Negeri Perak yang merupakan laman media sosial rasmi agensi kerajaan tersebut manakala soalan-soalan yang dilontarkan orang ramai pula langsung tidak berjawab.

Pengurus operasi syarikat dagangan swasta, M Ramesh berkata, MKN Negeri Perak sebagai agensi bertanggungjawab dalam pelaksanaan PKPD di negeri ini seharusnya lebih proaktif termasuk mengeluarkan kenyataan menerusi media massa.

Tegasnya, langkah itu penting bagi mengelak berlaku kekeliruan dalam menentukan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan pengusaha premis sepanjang tempoh PKPD.

“Pengusaha perlu diberi penerangan dengan lebih jelas mengenai garis panduan berkenaan dalam usaha memastikan perniagaan mereka dapat beroperasi semula dan pada masa sama mengekang penularan jangkitan Covid-19.

“MKN Negeri Perak sepatutnya mencontohi MKN Negeri Kedah apabila mengeluarkan senarai bukan perkhidmatan perlu. Ini bukan kali pertama kita melalui pelaksanaan PKPD, jadi pihak atasan perlu berfikir apa yang rakyat perlu tahu,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga alat ganti kenderaan, Nurul Sham Mat Lazim berkata, ketiadaan sebarang pemberitahuan berbentuk notis senarai daripada pihak MKN Negeri Perak menyebabkan banyak pihak tertanya-tanya apakah pengkhususan bukan perkhidmatan perlu yang tidak dibenarkan.

Katanya, senarai itu perlu sebagai panduan kepada majikan selain boleh membuat persediaan sama ada hendak menugaskan kakitangan atau hanya menghadkan operasi tertentu sahaja.

“MKN Negeri Perak tidak boleh sekadar mengeluarkan kenyataan umum dan berharap orang ramai faham atau boleh membuat andaian sendiri jenis-jenis bukan perkhidmatan perlu yang boleh atau tidak.

"Saya menggesa MKN Negeri Perak untuk memperincikan garis panduan yang ditetapkan agar semua pengusaha kategori bukan perkhidmatan perlu tahu apa yang mereka perlu lakukan dan pada masa sama, keselamatan pelanggan terjaga,” ujarnya.