IPOH - Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1 diterangi cahaya lampu sorot bendera Palestin bagi menandakan solidariti kepada rakyat di negara berkenaan yang kini berhadapan dengan kekejaman tentera Zionis. 

Lampu sorot yang dipasang mulai semalam sehingga hari ini itu adalah tajaan sebuah syarikat. 
 
Difahamkan lampu itu dipasang dari jam 7 malam sehingga tamat waktu solat Isyak. 
 
Walaupun masjid tersebut terletak di dalam kawasan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu tidak menghalang mereka daripada menunjukkan sokongan kepada rakyat di Bumi Gaza. 
 
Sebelum ini, Kelab Belia Abrar mengambil inisiatif memasang 15 bendera Palestin di sekitar bangunan Masjid tersebut atas tujuan yang sama. 
 
Keganasan Israel menyerang penduduk Palestin bermula sejak 7 Mei lalu dan masih berlarutan sehingga ke hari ini sehingga menyebabkan ramai rakyat di negara tersebut yang cedera dan terbunuh termasuk wanita serta kanak-kanak.