IPOH – Kegiatan enam pengedar dadah termasuk dua pasangan suami isteri yang hidup dengan meraih hasil jualan bahan terlarang itu tidak ke mana apabila kesemua mereka ditangkap polis dalam beberapa serbuan di bandar ini.

Kejayaan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak membanteras pengedaran dadah ini hasil operasi berasingan pada kelmarin dan semalam melibatkan rampasan dadah bernilai RM2 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi pertama melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang ditangkap di tempat letak kereta sebuah kondominium di Kampung Simee di sini pada jam 2.30 petang.

Menurutnya, susulan daripada tangkapan itu telah membawa polis kepada penemuan 26.31 gram dadah jenis ketamin dan 100 biji pil Eramin 5.

“Hasil soal siasatan, polis telah melakukan serbuan di tiga buah lokasi iaitu di Kampung Simee, Tambun dan Bercham dan menahan tiga suspek termasuk dua wanita.

“Penggeledahan pula menemui pelbagai jenis dadah termasuk 183 peket serbuk minuman seberat 5,460 gram yang dipercayai mengandungi dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Berpandukan maklumat, polis juga telah melakukan dua serbuan iaitu di Bukit Merah dan Kampung Rapat sebelum menahan dua lelaki bersama 2.6 gram dadah ketamin.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak tahun lalu itu didalangi ahli keluarga termasuk dua pasangan suami isteri manakala dadah yang dirampas pula bagi edaran tempatan.

Katanya, kesemua suspek kini direman bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.