IPOH – Sebanyak RM1.024 billion nilai pelaburan diterima di kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tahun lalu yang merangkumi beberapa sektor seperti elektrik dan elektronik, produk plastik, bahan kimia, produk mineral bukan logam, pembuatan makanan dan lain-lain.

Ia turut disumbangkan menerusi kerjasama daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang telah membentangkan beberapa pendekatan strategik bersifat serampang tiga mata termasuk tumpuan pada pembangunan infrastruktur.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, MBI juga mengambil langkah proaktif ini bagi merancakkan ekonomi negeri melalui pembangunan strategik, rangsangan pelaburan dan program memperkasakan rakyat bagi menangani impak pandemik Covid-19.

Jelasnya, bagi potensi pelaburan untuk tahun 2021 (sehingga Jun 2021) yang telah diunjurkan oleh InvestPerak dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pula adalah sebanyak RM590 juta.

“Nilai potensi pelaburan 2021 ini adalah anggaran kasar berdasarkan projek-projek pelaburan industri yang sedang dalam pemantauan InvestPerak dan MIDA.

“Oleh yang demikian, saya berharap agar kita dapat bersama-sama membantu kerajaan negeri dan pelabur-pelabur dalam memudahcarakan pembangunan ekonomi ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei di Dewan Mesyuarat MBI di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak, pengarah-pengarah kanan MBI dan ketua-ketua jabatan.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi memberitahu, MBI telah menawarkan tender bagi projek Projek MyRelamp melibatkan penggantian 1,200 unit lampu SON kepada Lampu LED cekap tenaga berteknologi pintar di pusat bandar Ipoh menggunakan kaedah pembiayaan secara sewa beli.

Katanya, MyRelamp merupakan projek rintis Green Goverment Procument (GGP) dalam pengurusan pembekalan dan perolehan pihak berkuasa tempatan melalui inisiatif Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) yang menumpukan pada elemen penggunaan barangan cekap tenaga dan mesra alam.

“Projek ini akan dilaksanakan pada bulan Jun mengambil masa enam bulan untuk disiapkan dengan sasaran kita dapat melakukan penjimatan penggunaan tenaga elektrik dan kos operasi sebanyak 60 peratus dan pengurangan kadar pelepasan gas karbon sebanyak 122.4 tan dalam tempoh setahun.

“Melalui projek ini juga, operasi lampu pintar akan dikawal secara aplikasi berasaskan web secara jarak jauh. Aplikasi ini akan mencerap data penggunaan tenaga, mengenal pasti kerosakan dan boleh menghantar pesanan status secara automatik,” ujarnya.

Pelaksanaan projek ini adalah selaras dengan visi dan misi MBI untuk mencapai taraf Bandaraya Pintar Rendah Karbon 2030.