IPOH - Cuaca mendung dan suasana muram mengiringi pengebumian Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat Ipoh di sini petang ini.

Jenazah Allahyarham yang tiba pada jam 6.05 petang menaiki van jenazah turut diiringi tiga kenderaan petugas Jabatan Kesihatan negeri bersama 10 anggota lengkap mengenakan sut peralatan perlindungan diri (PPE).

Laluan masuk ke kawasan perkuburan dengan kawalan ketat polis menyaksikan hanya beberapa ahli keluarga terdekat Allahyarham yang dibenarkan berada di kawasan perkuburan.

Manakala lebih 30 petugas media pula hanya dibenarkan berada di kawasan perumahan berdekatan pada jarak 20 meter bagi mematuhi SOP penjarakan fizikal.

Jenazah kemudian selamat dikebumikan pada jam 6.20 petang.

Terdahulu kenderaan yang membawa jenazah Mufti Perak keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 5.55 petang menuju tanah perkuburan tersebut untuk urusan pengkebumian.

Allahyarham Harussani yang dilahirkan pada 8 April 1939 di Kampung Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar dilantik sebagai Mufti Perak sejak tahun 1985.

Hasil perkongsian hidup dengan Puan Sri Hajjah Ainon Abdul Ghani mulai 31 Julai 1966, Allahyarham dikurniakan empat orang cahayamata

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam kenyataan beliau mengucapkan rasa dukacita dan sebak atas perkhabaran duka tersebut.

"Kita baru sahaja kehilangan seorang agamawan terbilang, seorang murabbi ummah yang tidak pernah jemu mencurahkan jasa dalam menyebarkan dakwah Islam.

"Saya sendiri banyak kenangan bersama Allahyarham. Seorang yang ilmuan yang cukup dihormati dan disegani.

"Dalam ketegasannya, terselit santun dan lembut tutur kata. Berdakwah secara berhikmah dan berilmu," ujarnya.

Saarani turut menyampaikan salam takziah buat keluarga dan sahabat handai Allahyarham dan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan sama sama kita mendoakan agar segala urusan

dipermudahkan.

ddalam perkembangan berkaitan, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pemergian Allahyarham Harussani sangat dirasai kerana ketokohannya tiada galang ganti

Menurut Zamri, selain merasa dukacita beliau juga tidak sempat menziarahi Allahyarham semasa dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana pematuhan pada prosedur Covid-19.

“Saya difahamkan pemergian Allahyarham adalah disebabkan Covid-19.

“Kali terakhir saya bertemu dengan Mufti Perak itu ialah semasa menziarahi Allahyarham di rumah sebelum dirawat di HRPB,” katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat Ipoh di sini, petang tadi.

End