IPOH – Pemilik sebuah kilang kayu di di Kawasan Perindustrian Sungai Siput dikenakan kompaun RM10,000 kerana sengaja cuba mengelirukan pihak berkuasa apabila beroperasi tanpa lesen sah semasa diperiksa polis bersama penguatkuasa Jabatan Perhutanan Kuala Kangsar pada Jumaat lalu.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, pemeriksaan lanjut juga mendapati lesen kilang itu telah tamat sejak 30 Jun tahun lalu dan tiada permohonan baharu diterima sepanjang tempoh tersebut.

Menurut kenyataan itu, objektif pelaksanaan operasi ini adalah untuk memastikan kilang – kilang berasaskan kayu ini menjalankan operasi dengan mendapat kelulusan yang sah dari Jabatan dan mencegah sebarang aktiviti penerokaan hutan atau pembalakan haram sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 ini berjalan.

“Pasukan penguatkuasa telah menahan empat orang iaitu pemilik kilang termasuk dua pekerja asing.

“Turut disita empat unit pengisar kayu, empat mesin silo, satu mesin belah kayu, satu mesin drum chipper dan lima (longgokan kayu yang dipotong pendek,” ujar kenyataan tersebut.

Susulan tindakan tersebut laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Siput (U) manakala keempat-empat mereka yang ditahan dilepaskan dengan Bon Jaminan polis setelah diambil keterangan.

Sementara itu, dalam satu operasi lain, penguat kuasa Pejabat Renjer Hutan Beruas telah menahan tiga lelaki selepas didapati menceroboh Hutan Simpan Bubu dekat Manong pada Jumaat lalu.

Kesemua suspek ditahan kerana menceroboh hutan simpanan kekal di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 dan semasa serbuan mereka sedang giat menjalankan kerja-kerja penerokaan hutan di sebahagian Kompartmen 62, Hutan Simpan Bubu.

Turut ditemui di lokasi tersebut ialah sebuah jentolak model JCB, sebuah motosikal Modenas, satu unit gergaji rantai dan sebilah parang.

Ketiga – tiga suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung bagi siasatan lanjut dan dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka direkodkan manakala barang-barang tersebut disimpan bagi tujuan siasatan.

Kesemua suspek juga berdepan dakwaan di bawah Seksyen 81(1)(b) dan 81(1)(e) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 yang boleh didenda RM50,000, penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.