BAGAN SERAI – Penduduk di Bagan Serai semalam digemparkan dengan penemuan bangkai seekor buaya sepanjang lima meter terapung di sebatang sungai di Kampung Teluk Peribu kelmarin sehingga menyebabkan kawasan di sekitarnya bertukar umpama pesta.

Kehadiran penduduk sebaik berita mengenai penemuan bangkai reptilia itu juga pantas tular di media sosial apabila beberapa rakaman video mengenainya dikongsi warga maya.

Difahamkan, bangkai buaya itu mula ditemui seorang penduduk semasa berehat di rumahnya apabila dia melihat objek terapung yang disangkakan pokok kayu hanyut.

Dia bersama seorang rakan kemudian mendayung untuk mendekati bangkai buaya itu sebelum mengikatnya pada kayu dan ditarik ke tepi tebing agar tidak menakutkan pengguna lain yang melalui sungai tersebut.

Lebih mengejutkan, penemuan buaya jantan sepanjang lima meter dengan anggaran berat 400 kilogram (kg) itu pertama kali berlaku di kampung tersebut sekali gus menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan penduduk.

Mohamad Norlishazany Rosli, 24, berkata, kejadian berlaku pada jam 4 petang apabila mulanya dia menyangka objek besar yang dilihatnya terapung dan tersangkut pada tumbuhan air itu adalah pohon kayu yang hanyut.

Bagaimanapun katanya, setelah diamati ia adalah bangkai seekor buaya.

“Saya segera menghubungi rakan untuk memaklumkan perkara itu dan kami berdua memberanikan diri mendayung sampan untuk melihat dengan lebih dekat lagi.

“Setelah sah buaya itu mati, kami mengambil inisiatif untuk mengikat bangkai buaya itu lalu menariknya ke tepi tebing sungai,” katanya ketika dihubungi media.

Penemuan bangkai buaya itu kemudian dimaklumkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum datang melakukan pemeriksaan dan mengangkat bangkai tersebut ke atas tebing.

Bangkai buaya ini yang dipercayai telah mati dalam tempoh tiga hari itu kemudian ditanam di belukar berdekatan bagi mengelakkan ia busuk.