IPOH – Sebuah Pasukan Pemantau Bersepadu Berpusat melibatkan pelbagai agensi bertanggungjawab akan diwujudkan bagi memantau secara bersasar berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuatkuasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penugasan itu nanti adalah berdasarkan aduan orang ramai yang diterima bagi memudahkan siasatan serta tindakan lanjut dilakukan agensi-agensi terlibat.

Kataya, selain polis pasukan pemantau itu melibatkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu sebanyak 339 pasukan pemantau pematuhan SOP dianggotai polis telah digerakkan dengan kadar penugasan yang lebih kerap dan akan ditambah mengikut keperluan semasa termasuklah unit-unit rondaan sedia ada.

“Setakat ini juga Polis Perak telah mendirikan sebanyak 63 pos sekatan jalan raya (SJR) secara tetap di mana pertambahan SJR akan dibuat berdasarkan keperluan penugasan.

“SJR bergerak atau snap check akan dibuat mengikut keperluan semasa Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai terutamanya di lokasi jalan pintas atau lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mior Faridalathrash memberitahu, sepanjang Jun ini iaitu sehingga semalam pula sebanyak 1,239 kompaun pelbagai kesalahan telah dikeluarkan polis dengan kesalahan paling tinggi ialah tidak memakai pelitup muka iaitu sebanyak 244 kompaun.

Katanya, kesalahan tersebut tidak sepatutnya dilakukan kerana ia adalah SOP yang wajib dipatuhi orang ramai.

“Secara keseluruhannya warga Perak mematuhi SOP mengekang Covid-19 apabila peratus pematuhan adalah tinggi iaitu sehingga 96 peratus,” kata beliau.