IPOH - Seramai 102 daripada 123 orang petugas media terdiri wartawan, jurufoto dan jurukamera daripada pelbagai agensi telah selamat menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di tujuh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Perak.

Baki pengamal media yang lain dijangka akan menerima suntikan vaksin pada minggu hadapan.

Wartawan daripada agensi media Ipoh Echo, Soo Wai Ling, 25, berkata pemberian vaksin ini memberi kelegaan memandangkan pengamal media adalah barisan hadapan yang perlu melalui pelbagai risiko sewaktu melaksanakan tugas.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, Jabatan Kesihatan Negeri serta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) kerana mempermudahkan vaksinasi kepada pengamal media negeri ini.

"Terima kasih juga kepada kerajaan pusat di atas keprihatinan mendengar rintihan kami dan mempercepatkan pemberian vaksinasi.

"Suntikan pertama yang diterima pada hari ini akan meningkatkan kenyakinan kami untuk menjalankan tugas. Walaupun suntikan ini bukanlah jaminan untuk pengamal media tidak dijangkiti Covid-19, namun jika berlaku sebarang jangkitan, kebarangkalian komplikasi yang dihadapi kurang memudaratkan," katanya selepas menerima vaksin di PPV Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Seorang lagi petugas media dari Berita Harian, Balqis Jazimah Zahari, 36, berkata semua petugas dan sukarelawan di PPV melaksanakan tanggungjawab secara profesional bagi melancarkan vaksinasi kepada orang ramai.

"Semua petugas dan sukarelawan bertindak cekap dan mesra. Prosedur keseluruhannya tidak melebihi dari 30 minit. Tahniah di atas pengurusan yang cemerlang," katanya.

Difahamkan semua pengawal media menerima suntikan vaksinasi dari jenis Pfizer dan akan melengkapkan suntikan dos kedua pada 2 Julai depan.