IPOH – Kerajaan negeri akan terus mendapatkan input dan memantau situasi di lapangan terutamanya di kawasan yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi memastikan nasib rakyat yang terjejas sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya. 

Justeru, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menambah jumlah peruntukan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera 2021 kepada RM25.7 juta daripada RM19.5 juta yang diumumkan 2 Jun lalu, membabitkan 44 inisiatif dan bantuan kepada rakyat Perak Perak yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, beberapa inisiatif tambahan turut dilaksanakan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak supaya rakyat di negeri ini mendapat bantuan mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi moratorium bayaran balik pinjaman mikro kredit usahawan di bawah Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Yayasan Perak selama sebulan bermula Jun ini.

“Pelaksanaan moratorium ini akan memanfaatkan seramai 743 usahawan dan membabitkan tunggakan bayaran sebanyak RM244,450.60.

“Selain itu, moratorium pinjaman Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) turut diperluaskan kepada semua peminjam iaitu seramai 769 berbanding 443 peminjam yang telah diumumkan sebelum ini,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan program Go Cashless n E-Commerce Usahawan Perak 2021 (GLeMMER 2021) akan dilaksanakan bertujuan untuk menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai oleh penjaja, peniaga dan usahawan yang beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Melalui program ini, kerajaan negeri akan memberi baucar subsidi bagi pembelian dan penghantaran bernilai  antara RM2 hingga RM5 yang akan memberi manfaat kepada 80,000 peniaga, penjaja dan usahawan.

“Program ini turut mendapat kerjasama daripada sembilan syarikat platform atas talian dan penghantaran iaitu Shopee, Lazada, Grab, Foodpanda, Warongku, Halo Je, J & T, Touch n Go dan Boost,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi sektor pelancongan, insentif bagi penggiat pelancongan yang diumumkan sebelum ini akan diperluaskan melalui pemberian one off kepada pengusaha hotel bajet negeri Perak yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel Bajet Malaysia Negeri Perak (MyBHA Perak) serta pengusaha hotel dan resort Pangkor.