IPOH - Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad menegaskan pemberian kira-kira 15,000 unit telefon pintar percuma kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah boleh dimanfaatkan walaupun peranti yang diedarkan itu berkualiti rendah tetapi masih sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurut beliau, telefon itu yang disumbangkan menerusi Yayasan YTL telah dipersetujui pada Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Perak setelah diberikan taklimat termasuk jenis serta kapasiti telefon tersebut untuk sesuai digunakan dalam pembelajaran.

Katanya, pada mesyuarat tersebut telah dijelaskan jenis telefon pintar yang disumbangkan ialah jenama YES dengan spesifikasi 1GB RAM dan 8GB storan yang diedarkan kepada pelajar daripada keluarga B40.

“Telefon pintar itu diberi secara percuma dan kami menerimanya dan telah pun mengedarkan kepada pelajar-pelajar.

“Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Yayasan YTL dan mengalu-alukan mana-mana lagi syarikat yang ingin berkolaborasi untuk memberikan sumbangan secara percuma kepada kerajaan negeri khususnya kepada orang miskin dalam apa juga bentuk bantuan untuk tujuan pelajaran,” katanya.

Telefon pintar yang disumbangkan itu juga diberikan dengan data percuma setiap bulanan yang sangat bermanfaat kepada pelajar golongan susah.

Kerajaan Perak sebelum ini mengakui telefon pintar yang diagihkan secara percuma menerusi inisiatif program Tuisyen Cikgu Saarani adalah peranti berkualiti rendah yang hanya sesuai digunakan bagi tujuan pembelajaran.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, telefon hasil sumbangan Yayasan YTL itu tidak sesuai digunakan untuk tujuan lain terutama permainan dalam talian memandangkan sistem dan kapasitinya tidak mampu menampung aplikasi-aplikasi berkenaan.

“Telefon pintar ini ada kelebihannya kepada pelajar, namun sekiranya ada yang merungut dengan mengatakan peranti menjadi perlahan ataupun kurang berkualiti, berkemungkinan ada yang menggunakannya untuk tujuan permainan dalam talian seperti ‘PUBG’ atau ‘Mobile Legend’.

“Ini kerana kita tahu penggunaan aplikasi yang berat seperti permainan dalam talian itu akan menjejaskan prestasi peranti berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 150 telefon pintar di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau.