IPOH - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini mula beroperasi hari ini setelah ditutup sehari semalam kerana tiada janji temu untuk suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

Urusan pemberian vaksin berjalan seperti biasa di mana orang ramai yang datang seawal jam 8 pagi mengikut temu janji masing-masing.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan sehari itu disebabkan pada 26 Mei lalu PPV itu tidak beroperasi berikutan cuti umum Hari Wesak.
Katanya, ketika itu juga tiada sebarang janji temu suntikan dos pertama dibuat.

Menurut Saarani, individu yang menerima suntikan dos pertama akan menerima dos kedua selepas 21 hari dan kebetulan semasa Hari Wesak, PPV itu tidak beroperasi.

“Memang kita buat pemberian vaksin tujuh hari seminggu tetapi PPV ini ditutup pada Hari Wesak, jadi tidak ada orang yang terima dos pertama pada masa itu dan 21 hari selepas Wesak adalah hari ini.

“Masyarakat tidak perlu khuatir kerana PPV ini akan beroperasi seperti biasa esok,” katanya dalam sidang akhbar secara maya.

PPV Stadium Indera Mulia mula beroperasi pada 1 Mac lalu apabila Perak menerima 79,560 dos vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bermula 10 Jun lalu pula, perkhidmatan suntikan secara pandu lalu di PPV Stadium Indera Mulia mula beroperasi secara rasmi dengan 100 individu menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin Covid-19.