IPOH - Seorang pemandu wanita maut apabila kereta dipandunya dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan apabila terbabas  lalu melanggar sebuah kedai dekat persimpangan Jalan Jelapang di sini, pagi tadi.

Identiti mangsa dikenali sebagai Noor Aishah Mohd. Tahir, 26, yang dipercayai dalam perjalanan dari arah Chemor ke Jelapang.

Dalam kejadian pada jam 10.20 pagi itu, lori dari arah Lumut menuju ke Ipoh itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Proton Persona dipandu mangsa.

Jurucakap Pusat Operasi Gerakan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.28 pagi.

Menurut jurucakap tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya bersama jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba kita mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori treler di mana terdapat mangsa tersepit dalam kereta tersebut.

“Kita terpaksa menggunakan khidmat sebuah kren untuk menarik treler berkenaan. Operasi menyelamatkan mangsa sedang giat dijalankan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, polis mengesahkan telah menahan pemandu lori tersebut dan akan direman bagi membantu siasatan.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.