IPOH- Pejabat Renjer Hutan Batu Gajah berjaya menggagalkan cubaan menceroboh hutan simpan di sebahagian kompartmen 91, Hutan Simpan Kledang Saiong, dekat sini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri  Perak (JPNPk), Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, dalam serbuan  pihaknya telah menyita sebuah excavator model Hitachi yang kemudiannya dibawa ke stor rampasan JPNPk di Pusing.

"Bagaimanapun individu terbabit berjaya melarikan diri setelah menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa sewaktu serbuan dibuat.

"Dalam perkembangan lain, pasukan Penguat Kuasa Pejabat Renjer Hutan Beruas turut menjalankan rondaan bagi mengesan sebarang aktiviti pencerobohan hutan dan penerokaan haram sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Melalui rondaan yang dijalankan pada Sabtu, tiga individu ditahan ketika mengambil hasil buah kelapa sawit yang diusahakan melalui aktiviti penerokaan secara haram di Kompartmen 62, Hutan Simpan Bubu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pasukan penguat kuasa turut menemui sebuah lori tiga tan model Mitsubishi Canter, sebuah motorsikal model Yamaha SRE, dua batang besi loading, sebatang cangkuk dan sebilah parang panjang.

Menurutnya, berdasarkan rekod JPNPk , aktiviti penerokaan hutan secara haram di kawasan itu berlaku sejak tahun 2010 dan membabitkan kawasan penerokaan hampir seluas 45 hektar.

"Mereka yang terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 81(1)(g) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti penerokaan, pencerobohan atau pembalakan haram yang melibatkan hutan simpanan kekal di negeri ini, boleh hubungi pegawai penguat kuasa JPNPk di talian 011- 6556 6714," jelasnya.