IPOH - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di Mukim Bidor dan Mukim Batang Padang, Batang Padang dekat Tapah.

Hasil pemantuan yang dilakukan oleh KKM mendapati trend kes telah meningkat dan setakat ini, sebanyak 523 positif direkodkan hasil saringan ke atas 3,271 penduduk di lokaliti tersebut.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Bidor dan Mukim Batang Padang, Batang Padang berkuat kuasa 10 Julai sehingga 23 Julai ini.

Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengawal pergerakan penduduk sekali gus mengekang penularan jangkitan ke komuniti lain.

Sementara itu, semalam sebanyak 543 kes baharu yang dilaporkan di mana 531 kes adalah jangkitan tempatan dan 12 kes adalah jangkitan dari luar Perak.

Daerah Batang Padang sahaja merekodkan 58 kes iaitu lapan kes dari saringan kluster sedia ada iaitu Kluster Jalan Baldwin Tiga melibatkan jumlah keseluruhan kes dari kluster ini adalah 50 kes.

Kluster Jalan Bidor pula merekodkan tiga jangkitan tempatan dengan jumlah keseluruhan kes dari Kluster Jalan Bidor sebanyak 236 kes manakala 14 kes dari  saringan Kluster Industri Bidor yang telah mencatatkan 207 kes.

Selebihnya 6 kes dari saringan kontak rapat kes adalah jangkitan tempatan, saringan bergejala (11) dan saringan orang kena tahan (16).