IPOH – Tarikh 28 Zulkaedah 1442 Hijrah hari ini sangat bermakna bagi umat Islam di negeri ini apabila boleh menghadiri solat fardu Jumaat mengikut keluasan dewan solat di masjid atau surau sepertimana yang dibenarkan.

Kebenaran ini susulan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memperkenankan solat fardu, Jumaat dan sunat Aidiladha diadakan di masjid dan surau.

Perak juga kini berada pada Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua sepertimana diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi masih dalam pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan di Masjid al-Furqan, Taman Pengkalan Jaya di sini mendapati, kariah mula memenuhi masjid seawal jam 12.40 tengah hari dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk mengambil bacaan suhu badan dan mengimbas kod MySejahtera.

Seramai 22 petugas masjid termasuk ahli jawatankuasa bertugas bagi memastikan ruang dalam dewan solat dipenuhi mengikut aturan yang ditetapkan.

Solat Jumaat yang dipimpin oleh Imam Mohd. Afif Ashraf sebelum itu dimulakan dengan khutbah bertajuk 'Berwaspada Menjaga Keselamatan Diri dan Keluarga'.

Ahli Jawatankuasa Masjid al-Furqan, Zulkifli Baharom, 51, berkata, kehadiran jemaah pada hari ini adalah kira-kira 280 orang manakala kapasiti yang dibenarkan adalah 400 jemaah.

Katanya, menjadi kebiasaan apabila masjid dibuka semula kehadiran jemaah adalah dua pertiga daripada kapasiti yang dibenarkan dan angka itu akan bertambah pada minggu seterusnya.

“Persediaan telah dilakukan oleh pihak masjid pada Rabu lalu seperti melakukan sanitasi selain memastikan keperluan seperti cecair pembasmi kuman mencukupi,” ujarnya.

Bagi salah seorang kariah, Suzari Mohd. Suyud, 51, pembukaan semula masjid untuk solat dan lain-lain kegiatan keagamaan sangat menggembirakan serta dinanti-nantikan.

“Syukur kehadrat Ilahi apabila setelah hampir dua bulan kariah setempat boleh bersolat Jumaat. Keadaan ini juga secara tidak langsung memulihkan semangat masyarakat dalam menghadapi situasi pandemik ketika ini,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 800 jemaah hadir menunaikan solat fardu Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) hari ini.

Solat dipimpin oleh Ustaz Tun Ihsan Abdul Karim yang juga Imam Utama masjid tersebut.