IPOH – Semua pelajar anak Perak yang pulang bercuti ke rumah masing-masing diminta tampil membuat ujian saringan secara percuma di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

Ia sebagai langkah-langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 terutamanya bagi mereka yang pulang dari Lembah Klang.

Menteri Besar, Datuk Saraani Mohamad berkata, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai keputusan Kementerian Pengajian Tinggi membenarkan pelajar institut pendidikan tinggi (IPT) pulang ke rumah masing-masing sempena cuti semester mulai minggu ini.

Menurutnya, pelajar yang mengalami tanda atau gejala jangkitan Covid-19 diminta segera mendapatkan rawatan di mana-mana hospital atau klinik kesihatan.

“Pada masa sama, pelajar terbabit juga dinasihatkan supaya melakukan pengasingan kendiri di rumah iaitu 14 hari bagi mereka yang pulang dari kawasan Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka) manakala 10 hari dari negeri lain.

“Saya memahami keinginan anak-anak Perak untuk pulang bertemu dengan keluarga, namun langkah-langkah pencegahan ini mesti kita lakukan demi mengelakkan sebarang risiko jangkitan yang bukan sahaja boleh mengancam kesihatan diri sendiri, malah ahli-ahli keluarga yang lain,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya mesej ini dapat disampaikan kepada ibu bapa serta anak-anak Perak yang sudah atau akan pulang bercuti mulai minggu ini.

“Bagi memudahkan pemantauan, para pelajar yang pulang diminta mengisi butiran dan maklumat diri melalui pautan https://forms.gle/h6s4aH8bSYk2fKjs8.

“Sekiranya ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan boleh menghubungi talian Hotline Covid-19 di talian 05- 241 0252/0107 atau mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah terdekat,” ujar Menteri Besar.