IPOH - Kerajaan Perak menerima sumbangan 287 ekor lembu korban daripada beberapa agensi berkaitan kerajaan (GLC) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.6 juta.

Antaranya daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Menteri Besar, Datuk Saraani Mohamad berkata,setiap 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk DUN pembangkang akan menerima empat ekor lembu korban.

“Agihan lembu korban ke masjid, surau dan rumah sembelihan akan diselaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam.

“Bagi kawasan di mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan beragama Islam pula, agihan lembu korban akan diselaraskan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah,” katanya.

Terdahulu Saarani menyempurnakan majlis akad penyerahan lembu korban daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri kepada kerajaan negeri secara maya.

Ia turut disaksikan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) Datuk Mohd Yusop Husin.

Penyerahan secara berakad kepada wakil-wakil peringkat DUN akan bermula esok selain garis panduan khusus yang menumpukan aspek wakalah atau kontrak antara pihak-pihak yang terlibat.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengingatkan umat Islam negeri ini agar tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa menyempurnakan ibadah korban.

“Elakkan daripada kita menjangkiti atau dijangkiti wabak berkenaan. Ia merupakan tanggungjawab bersama untuk kita mengurangkan bilangan individu yang dijangkiti.

“Perkara ini penting kerana pada waktu kita hendak merayakan Aidiladha, kita hendak menyempurnakan hajat untuk berkorban, pada waktu sama kita pula jangan terkorban (kerana Covid-19),” katanya.