LUMUT - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk ikan ketutu dan ikan kelah tanpa permit dari negara Indonesia dalam pemeriksaan di Pelabuhan Lumut di sini hari ini.

Ikan-ikan tersebut dipercayai cuba dibawa masuk melalui pintu masuk MAQIS Pelabuhan Lumut, Perak, hari ini.

MAQIS negeri Perak dalam satu kenyataan berkata, hasil daripada pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pegawai ke atas peti-peti ikan import mendapati, satu peti seberat 100 kilogram (kg) yang berisi 90kg ikan ketutu dan selebihnya ikan kelah telah ditemui tanpa Permit Import MAQIS.

Menurut kenyataan tersebut, kesemua barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM10,000 telah ditahan untuk tindakan lanjut.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa Permit Import yang dikeluarkan MAQIS adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama,” ujar kenyataan tersebut.

MAQIS sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk negara dan berharap pihak pengimport sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan makanan negara terjamin dan terpelihara.