GERIK - Seekor gajah jantan liar telah berjaya ditangkap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Perak di ladang sawit Felda Bersia Timur Gerik pagi tadi.

Haiwan itu ditangkap kira-kira pukul 10 pagi oleh sepasukan anggota Unit Tindakan Gajah Negeri (UTG) Perak setelah dijejaki selama tiga jam.

Perhilitan negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, gajah jantan itu yang dianggarkan berusia 18 hingga 20 tahun memiliki berat kira-kira dua tan.

Menurut kenyataan tersebut, penjejakan dilakukan susulan aduan gangguan mamalia darat terbesar ini yang diterima Pejabat Perhilitan Daerah Gerik pada 13 Julai lalu.  

"Kita turut menerima aduan beberapa kerosakan melibatkan tanaman pisang, kelapa dan kelapa sawit.

"Gajah jantan yang diberi nama Yob Daha ini akan dipindahkan esok (22 Julai) di mana operasinya bermula pada pukul 8 pagi," kata kenyataan itu.

Ia membabitkan 15 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dan lapan orang petugas Perhilitan negeri Perak.   

Dua ekor denak iaitu Rambai dan Abot akan digunakan bagi memujuk dan menenangkan Yob Daha untuk bergerak menaiki lori seterusnya ke destinasi berikutnya.

Kata kenyataan itu lagi, Yob Daha akan dipindahkan ke Taman Negara dan diharap dapat memulakan kehidupan baru di sana dengan lebih selesa.

"Perhilitan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama ADUN Temenggor, Salbiah Mohamed; Pengurusan Felda Bersia, penghulu, ketua kampung dan semua pihak yang membantu.

"Ia amat memberi kerjasama kepada Perhilitan dalam menangani isu konflik gajah dengan manusia," ujar kenyataan tersebut.