IPOH – Perak akan beralih pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila 40 peratus rakyat negeri ini telah menerima suntikan vaksin bagi memenuhi standard nilai ambang yang ditetapkan.

Sehingga 21 Julai, seramai 600,627 (32.25 peratus) daripada penduduk Perak berumur 18 tahun ke atas telah menerima dos pertama manakala 311,793 (10.8 peratus) lengkap dos kedua.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, negeri itu pada masa ini mempunyai kapasiti untuk melaksanakan lebih 30,000 suntikan sehari yang tertakluk kepada bekalan vaksin.

“Sebelum ini Perak dijadualkan menerima 688,760 bekalan vaksin bagi bulan Julai bagaimana pun angka ini tertakluk kepada situasi semasa di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Saya difahamkan keutamaan diberi kepada negeri-negeri yang angka jangkitan semakin meningkat,” katanya selepas melawat operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Setakat ini Perak telah menerima sebanyak 288,000 dos vaksin dan kerajaan negeri berharap untuk menerima keseluruhan jumlah vaksin yang telah dijadualkan sebelum Ogos.

Dalam pada itu, Saarani turut menyeru lebih banyak syarikat sektor pembuatan tampil dan mendaftar di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

“Langkah ini termasuk dalam Fasa 4 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk membantu mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan rakyat dengan mensasarkan tenaga kerja sektor pembuatan kritikal.

 “Program PIKAS di Perak mensasarkan sebanyak 20,340 pekerja yang akan mendapatkan suntikan vaksin dan jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Setakat ini, sebanyak tiga PPV PIKAS sedang beroperasi termasuk PPV Convention Centre Casuarina@Meru, PPV Kompleks Sukan Proton dan PPV Sapura Fabrication Sdn. Bhd.

Manakala PPV Pikas keempat di St. Louis Hall Taiping akan beroperasi bermula Rabu depan.