IPOH - Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan RM937,635 sebagai bayaran bonus untuk 693 kakitangan bergaji harian sempena perayaan Aidilfitri tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya berkata, pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah perbadanan tersebut telah meluluskan pembayaran bonus buat kali pertama kepada kakitangan tempatan bergaji harian sebanyak satu bulan gaji atau bayaran minimum RM1,100.

Beliau dalam ucapannya turut memberi kata-kata semangat kepada kakitangannya supaya menyambut perayaan tersebut dengan penuh keceriaan walaupun, ia mungkin berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. 

"Kita berharap bonus ini dapat memberi keceriaan kepada kakitangan untuk menyambut Aidilfitri dalam keadaan norma baharu," katanya pada Majlis Ingatan Aidilfitri bersama kakitangan PPPNP di Dewan Agro, Kompleks Kakitangan Sungai Galah, di sini. 

Sementara itu, salah seorang penerima, Zubaidah Salleh berkata, pemberian bonus itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam menghadapi situasi sukar ketika pandemik Covid-19 dan persiapan Aidilfitri.

“Selama kami berkerja, ini merupakan pertama kalinya pekerja bergaji harian menerima bonus seumpama ini,” ujarnya. 

Selain daripada itu, tahun ini merupakan tahun kedua pemberian insentif Aidilfitiri kepada semua kakitangan tempatan sebanyak setengah bulan gaji dengan melibatkan peruntukan RM1.2 juta yang memanfaatkan kira-kira 1,991 kakitangan.

Sebagai tambahan, PPPNP turut memberi sumbangan pek Aidilfitri yang mengandungi barangan seperti kuih raya, kurma dan pulut susu bernilai RM90 setiap pek kepada 1,808 kakitangan.