BIDOR - Lapan buah rumah ditenggelami air kira-kira 0.6 meter dalam kejadian banjir kilat di Kampung Poh, pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.59 pagi.

Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik pihak bomba sampai di lokasi, didapati air sudah surut di kawasan rumah berkenaan dan kejadian ini tidak membabitkan pemindahan penduduk kampung itu.

"Walaupun air sudah surut, namun pihak bomba masih menjalankan pemantauan kerana paras air di sungai berdekatan masih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga, bimbang banjir berulang kembali," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, hujan lebat disusuli angin kuat turut menyebabkan dua pokok tumbang di Jalan Damai dekat Tapah.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Tapah telah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kira-kira jam 10.08 pagi tadi.

"Kami mendapati dua pokok telah tumbang serta menghalang laluan kedua arah jalan. Kami bertindak membersihkan pokok yang tumbang bagi memudahkan kenderaan menggunakan jalan semula", ujarnya.