IPOH — Kerajaan negeri Perak yakin sasaran 40 peratus penduduk menerima vaksinasi bagi mewujudkan komuniti selamat dapat dicapai pada Ogos ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, sekiranya berlaku kelewatan sekalipun nilai ambang itu diharap dapat dicapai selewat-lewatnya pada September.

Menurut beliau, seramai 683,332 atau 36.69 peratus rakyat Perak telah menerima vaksin dos pertama dos manakala 378,851 (20.34 peratus) lagi lengkap dua dos vaksin bagi mewujudkan komuniti selamat.

"Angka tersebut yang direkodkan sehingga 26 Julai dengan jangkaan Perak mencapai sehingga 40 peratus vaksinasi pada Ogos ini.

"Sehubungan itu kita berharap jangkaan untuk mencapai ambang 40 peratus ini dapat dicapai.

"Bagaimanapun, unjuran tersebut adalah tertakluk kepada bekalan vaksin yang akan diterima bagi Ogos dan September," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Sehingga Isnin lalu, Perak telah menerima 1,191,789 dos vaksin dari jenis Pfizer, Sinovac dan Astrazaneca.

Bekalan vaksin yang dijadualkan diterima pada bulan Julai ialah sebanyak 688,760 dos vaksin.

Kata Saarani, daripada jumlah tersebut sebanyak 438,191 dos vaksin telah diterima sejak 1 hingga 26 Julai lalu manakala baki 250,569 lagi dos vaksin dijangka diterima minggu ini.

Program Imuisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) negeri Perak bermula 24 Februari lalu dengan mensasarkan 80 peratus daripada 1,862,600 penduduk berumur 18 tahun ke atas bagi mencapai imuniti kelompok.

Sehingga 26 Julai, seramai 1,250,358 (77.9 peratus) telah mendaftar sebagai penerima imunisasi.