IPOH — Seramai 5,097 wanita dalam golongan miskin dan miskin tegar bakal menerima bantuan melalui Program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) bermula Ogos ini.

Inisiatif menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ini termasuk melibatkan 1,104 penerima daripada komuniti Orang Asli.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Isaace John, Bantuan KIDR diberi melalui kad tanpa tunai yang boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas atau rawatan kesihatan di klinik swasta.

Menurut beliau, setiap penerima boleh membeli barangan keperluan dari lebih 150 kedai runcit yang dilantik dan mendapatkan rawatan kesihatan dari 100 klinik berdaftar.

“Penerima bakal mendapat kad tanpa tunai bernilai RM250 sebulan selama lima bulan untuk pembelian 16 jenis barangan keperluan asas.

“Bagi bantuan rawatan kesihatan, penerima akan menerima nilai RM250 untuk kegunaan seluruh ahli keluarga pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan contoh kad tanpa tunai KIDR kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad yang diadakan secara dalam talian semalam.

Program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) merupakan sebahagian dari program bantuan kerajaan untuk membantu masalah kenaikan kos sara hidup dan menampung perbelanjaan keluarga terkesan.

Peserta Program KIDR telah dipilih dan disaring menerusi sistem eKasih dan iDamak dimana peserta dikategorikan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019.

Penyerahan kad kepada penerima telah bermula sejak 19 Julai di 12 daerah Negeri Perak dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) melalui penghulu-penghulu mukim.

Sementara itu penyerahan kad tanpa tunai KIDR kepada penerima Orang Asli akan dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Sebanyak RM7.4 juta telah diperuntukkan bagi fasa 1 program tersebut sebagai manfaat penerima KIDR.