LENGGONG – Kerajaan negeri Perak belum lagi memuktamadkan keputusan untuk menjadikan Hospital Sungai Siput (HSS) sebagai hospital penuh Covid-19 susulan peningkatan kes pesakit berkenaan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun persiapan memang dilakukan ke arah menjadikan hospital itu khusus bagi menempatkan pesakit Covid-19.

"Sekarang belum ada keputusan lagi dan ia barangkali hanya cadangan, persiapan jika keadaan kritikal atau benar-benar memerlukan.

"Sehingga kini belum ada ketetapan rasmi mengenainya, tetapi persiapan sememangnya ada," katanya selepas penyerahan bantuan kotak makanan kepada nelayan darat di Kampung Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus mengenai HSS menutup sementara perkhidmatan rawatan pesakit luar sejak Khamis bagi memberi laluan kepada pesakit Covid-19.

Saarani berkata, peningkatan kes positif Covid-19 harian di negeri ini tidak begitu memberi kesan pada fasiliti rawatan berikutan kebanyakan mereka adalah pesakit tidak bergejala.

Katanya, peningkatan jumlah kes juga disebabkan ujian calitan yang diadakan secara besar-besaran terhadap penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, pada majlis berkenaan sebanyak 700 kotak Bantuan Makanan Nelayan Darat Negeri Perak diserahkan kepada para penerimanya.

Usaha ini adalah bagi meringankan beban golongan itu yang terkesan susulan pandemik Covid-19.

“Saya amat memahami keresahan dan kebimbangan yang dialami oleh mereka yang mata pencariannya bergantung sepenuhnya kepada tangkapan harian.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dan keluarga.

Doa saya agar kita semua terus cekal dan tabah berhadapan dengan suasana pandemik ini,” kata Menteri Besar.