IPOH - AEON Midtown Falim akan menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pertama yang terletak di dalam pusat beli belah di Perak. 
 
Seramai 10,000 pekerja sektor peruncitan bakal menerima vaksin menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RIVAC) yang akan diadakan di PPV terbabit. 
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11, Ho Wai Mun berkata, program itu diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan dipromosikan secara aktif oleh Dewan Perdagangan dan Industri Cina Perak (PCCCI) serta pengurusan AEON. 
 
Menurutnya, program itu juga mendapat sokongan penuh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd Akmal Kamaruddin dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud. 
 
"Melalui usaha dan kerjasama mereka serta kebenaran yang diperolehi daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), program itu dapat dilaksanakan untuk tempoh seminggu. 
 
"Rancangan vaksinasi itu diharap dapat membantu negeri Perak mencapai sasaran imuniti kelompok seperti yang disarankan kerajaan.
 
"Apabila Perak memasuki fasa ketiga dan keempat dalam Pelan Pemulihan Negara (PNN), semua industri dapat kembali beroperasi sepenuhnya dan keadaan ekonomi di Perak akan beransur pulih," jelasnya. 
 
Beliau turut menyarankan supaya pusat membeli belah itu terus dijadikan sebagai PPV baru selepas tamatnya program RIVAC bagi tujuan pemberian vaksin kepada orang ramai.