Rugi tak ambil suntikan vaksin
- Details
- Kesihatan
- Hits: 1038
IPOH - "Rugi tak dapatkan suntikan vaksin, nanti susah untuk ke mana-mana," jelas Masri Mhd Nadzri yang sudah lengkap dua dos vaksinasi ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, hari ini.
Peniaga kedai makan yang berusia 47 tahun itu menggalakkan masyarakat untuk mendapatkan suntikan vaksin supaya mudah untuk berurusan di luar dengan lebih yakin dan selamat.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam mempercepatkan proses untuk saya mendapatkan vaksin.
"Selepas menerima suntikan vaksin ini, saya berasa lebih yakin untuk berada dalam kelompok masyarakat," ujarnya.
Penjawat awam, Izulkhusairi Razali, 29, yang menerima dos pertama vaksin hari ini menggalakkan masyarakat untuk mengambil suntikan sebagai langkah perlindungan.
Menyentuh mengenai golongan anti vaksin dia berpendapat, itu adalah hak dan pandangan masing-masing.
"Bagaimanapun, bagi saya vaksin penting dan ia salah satu cara untuk menghindar daripada penyakit tersebut (Covid-19)," ujarnya.
Seorang lagi penjawat awam, N Shanker, 49, mengesyorkan supaya lebih banyak PPV dibuka bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada masyarakat.
"Kita tak perlu dengar cakap-cakap orang mengenai vaksin. Saya lihat sekarang semua okay sahaja," katanya yang sudah lengkap dua dos vaksinasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, seramai 300 orang membabitkan ahli kariah Masjid Abu Ubaidah Taman Perpaduan; peniaga-peniaga di Bercham Raya dan penduduk sekitar Taman Perpaduan menerima suntikan vaksin dos pertama pada hari ini.
Katanya, program di bawah MBI Prihatin ini menunjukkan komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit dalam membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberikan vaksin kepada masyarakat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta.
"InshaALLAH selepas ini kita akan membantu ahli kariah di Masjid Ulu Kuang yang terletak di satu perkampungan dalam bandar raya Ipoh.
"Kebanyakkan mereka masih belum mendaftar kerana tiada aplikasi MySejahtera. Justeru, kita akan bekerjasama untuk membantu penduduk di situ mendaftar secara manual," jelasnya ketika ditemui Peraktastic hari ini.
Beliau berharap supaya 90 peratus jemaah masjid akan selesai divaksin supaya mereka dapat menjalankan aktiviti keagamaan dalam keadaan selesa dan tenang.
Hadir sama, Pengerusi Masjid Abu Ubaidah Taman Perpaduan, Shariff Othman.
Sementara itu, sukarelawan PPV Klinik Briged Utara, Nur Sheerlyza Nashrun, 21, berkata, dia amat berbesar hati menjadi sukarelawan dalam membantu melancarkan proses pemberian vaksinasi kepada masyarakat.
Pelajar semester kedua Diploma Pengurusan Perniagaan di Politeknik Ungku Omar (PUO) ini selain mendapat pengalaman baru, dia turut menambah ilmu dan berbangga dapat memberi sumbangan kecil untuk negara dalam mempercepatkan pemberian vaksin kepada masyarakat.