IPOH - Walaupun berada di pinggir bandar raya Ipoh, kira-kira 600 penduduk termasuk 300 remaja berusia 15 tahun dan ke atas yang menetap di sekitar Kampung Ulu Kuang, Chemor tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin dos pertama melalui Program Mobilasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang diadakan di Masjid As-Syakirin di sini, hari ini. 

Program ini adalah usaha Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta bersama Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman bagi membantu masyarakat pinggir bandar mendapatkan vaksin sekali gus meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19 di negeri ini.
 
Mazlan berkata, selain Kampung Ulu Kuang, penduduk di sekitar kawasan berhampiran yang turut menerima suntikan vaksin dos pertama ini termasuklah dari Kampung Hilir, Kampung Jasa, Kampung Baru Kanthan dan Khantan Lama, Kampung Cik Zainal dan Taman Chemor Mesra.
 
Menurutnya, sebelum ini, PPV Klinik Briged Utara telah melaksanakan program outreach dan MOVAK di enam masjid di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta. 
 
"Bagaimanapun, hari ini sedikit istimewa kerana remaja berusia 15 tahun turut divaksinasi supaya mereka dapat ke sekolah. 
 
"Ini adalah pendekatan kita untuk menolong mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan luar bandar. Kalau kita lihat di Ulu Kuang ini hampir 600 orang datang termasuk pelajar berusia 15 tahun dan ada juga warga emas yang berusia 63 tahun yang belum dapat vaksinasi lagi. 
 
"Perkara ini berlaku mungkin akibat kekangan tidak dapat ke PPV Stadium Indera Mulia disebabkan mengambil masa yang agak lama kerana jauh.
 
"Selain itu, tiada telefon pintar canggih untuk daftar aplikasi MySejahtera membuatkan kita datang untuk membantu mendaftarkan mereka secara manual bagi mendapatkan suntikan vaksinasi," katanya kepada Peraktastic pada Selasa. 
 
 
Hadir sama, Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA merangkap Pegawai Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad; Ketua Kampung Ulu Kuang, Hamdan Ishak dan Pengerusi Masjid As-Syakirin, Fauzi Ibrahim. 
 
Mazlan turut menasihatkan ibu bapa supaya membawa anak mereka bagi mendapatkan suntikan vaksin sebagai perlindungan daripada dijangkiti Covid-19. 
 
"Kalau tak kena, tak tahu (Covid-19). Jadi, hentikanlah antivaksin. InshaALLAH jika ambil suntikan vaksin mungkin boleh menyelamatkan diri kita," jelasnya. 
 
 
Sementara itu, Wong Poh Chuen, 43, ibu kepada remaja Loo Ho Seng, 15, dari Tanah Hitam, Chemor berasa gembira apabila anak sulungnya itu telah menerima suntikan vaksin. 
 
"Pemberian vaksin kepada anak-anak ini membuatkan kami sebagai ibu bapa lebih yakin untuk menghantar mereka ke sekolah semula. Sekurang-kurangnya, mereka dilindungi dan kami (ibu bapa) tidak perlu bimbang seperti sebelum ini," ujarnya. 
 
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Idrus, Chemor, Muszalipah Ahmad Yahya pula berkata, pemberian vaksinasi kepada pelajar sekolah yang berada di kawasan luar bandar ini adalah satu usaha yang baik dalam membantu memudahkan urusan pengoperasian sekolah yang bakal dibuka tidak lama lagi. 
 
"Vaksinasi adalah salah satu cara bagi melindungi anak-anak kita daripada pandemik ini. Justeru, usaha kerajaan bagi memastikan pelajar turut mendapatkan suntikan vaksin adalah satu langkah yang baik demi keselamatan semua," jelasnya.