IPOH - Seramai 320,000 individu mendaftar untuk menyertai inisiatif Sukarelawan Pembantu Vaksin Malaysia (MyVac) di seluruh negara sejak pendaftarannya dibuka pada Februari lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, daripada jumlah itu hanya 8,187 orang sukarelawan ditugaskan di 417 buah PPV di seluruh negara setakat 2 September lalu. 
 
Menurutnya, respon untuk pendaftaran sukarelawan MyVac ini amat menggalakkan dan melebihi permintaan. Bagaimanapun, permintaan sukarelawan ini bergantung kepada PPV di setiap tempat. 
 
"Bagi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perak, seramai 979 orang sukarelawan ditempatkan di 25 PPV seluruh negeri ini. 
 
"Inisiatif ini bukan sahaja membantu dalam melancarkan tugas PPV malah membantu dalam merealisasikan hasrat negara untuk capai 'herd immunity' (imuniti kelompok)," katanya. 
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama sukarelawan Myvac dan petugas-petugas di PPV Stadium Indera Mulia hari ini. 
 
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata, melalui inisiatif sukarelawan MyVac ini turut membantu dalam meringankan bebanan individu yang kehilangan pekerjaan. 
 
"Ada dalam kalangan sukarelawan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 dan melalui penyertaan dalam MyVac, mereka dapat sedikit imbuhan untuk bagi membantu sara kehidupan sambil meringankan beban," ujarnya yang memaklumkan sukarelawan MyVac sudah divaksin. 
 
Justeru, Ahmad Faizal mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia di atas respon baik oleh masyarakat terhadap petugas Myvac di seluruh Malaysia. 
 
"Rata-rata bersetuju sukarelawan MyVac banyak membantu petugas kesihatan dalam melicinkan proses penerimaan vaksin, membantu melaksanakan tugas selain tugas kesihatan saringan suhu pendaftaran, mengawal ruang menunggu dan lain-lain.
 
"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berbesar hati dapat membantu dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan berbangga dengan semangat kesukarelawanan MyVac ini," katanya.