Rakyat Perak Patuhi Pemakaian Pelitup Muka
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Kesihatan
- Hits: 730
IPOH - Arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu dipatuhi baik oleh masyarakat bandaraya Ipoh.
Tinjauan Peraktastic ke beberapa pusat membeli belah di sekitar bandaraya Ipoh mendapati, semua pengunjung dari pelbagai peringkat usia memakai pelitup muka tanpa terkecuali.
Nor Sakinah Mohd Imran, 35, suri rumah dari Simpang Pulai berkata ketegasan pihak kerajaan mengenakan arahan pemakaian pelitup muka sangat bertepatan dan memberi kebaikan kepada semua.
“Arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan ini harus dipatuhi dan usaha baik dalam memutuskan rantaian wabak pandemik Covid -19.
“Berhubung denda yang dikenakan kepada individu yang ingkar juga sangat bertepatan. Ini bertujuan mendisiplinkan lagi orang ramai agar sentiasa mematuhi perintah yang di keluarkan. Semua yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk kebaikan kita semua”, katanya.
Pada 23 Julai lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam susulan kes jangkitan pandemik Covid-19 yang kembali mencatat peningkatan di peringkat global, termasuk di Malaysia.
Kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) boleh dikenakan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.
Meor Azlin Meor Azmin, 42, dari Tanjung Rambutan turut bersetuju tindakan Kerajaan mengenakan saman sebanyak RM1,000 kepada yang tidak mematuhi arahan memakai pelitup muka di tempat awam.
“Sebenarnya saman sejumlah itu bukanlah satu nilai yang besar jika dibandingkan dengan keselamatan kita semua. Tindakan ini adalah betul kerana terdapat segelintir masyarakat kita yang masih berdegil untuk mematuhi arahan ini. Ini adalah amaran kepada mereka yang ingkar.
Kita harus memberi kerjasama yang terbaik kepada kerajaan. Kita bimbang sekiranya gelombang Covid-19 tercetus semula, pastinya akan memberi impak yang lebih besar kepada ekonomi negara terutamanya. Kita antara negara yang terbaik dalam menangani wabak yang mengancam nyawa, hargailah pada barisan hadapan negara”, katanya.
Setakat 3 Ogos, Perak merupakan zon hijau tanpa kes baharu Covid- 19 selepas 14 hari dan selepas 28 hari.