Aktiviti ekonomi dibuka 4 Mei ikut SOP
- Details
- Sheqal Danish
- Kesihatan
- Hits: 600
KUALA LUMPUR 1 Mei - Hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti sosial akan mula dibuka 4 Mei ini kecuali yang mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini berkata, ia berikutan keputusan kerajaan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersayarat (PKPB).
Bagaimana pun kata beliau, Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) akan terus dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.
"Atas nasihat Kementerian Kesihatan, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.
"Operasi sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan yang akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, masih ada beberapa industri dan perniagaan tertentu tidak dibenarkan beroperasi.
Jelas beliau, ianya adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.
"Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran," katanya.
Muhyiddin dalam ucapannya turut berkata, keputusan itu diambil selepas Malaysia telah memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.
"Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua telah membuahkan hasil.
"Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati. Dengan ini kerajaan akan melaksanakan PKPB," katanya.