IPOH 1 Mei - Perak menjadi negeri keempat berada di zon hijau sepenuhnya apabila keseluruhan daerahnya sifar kes Covid-19.

Menerusi data yang dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, dua kes positif yang dikesan sebelum ini dengan masing-masing satu kes di Kinta dan Manjung telah pulih selepas merekodkan 253 kes jangkitan Covid-19 keseluruhan.

Data juga menunjukkan tiada kes baharu direkodkan untuk tempoh 13 hari berturut-turut di negeri ini iaitu pada 18 hingga 30 April.

Selain itu, Pulau Pinang turut menghampiri zon hijau apabila hanya dua daerah masih mempunyai kes positif dengan masing-masing satu kes di Seberang Perai Tengah dan Barat Daya.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 6,002 kes positif Covid-19 sejak wabak itu melanda negara pada 25 Januari lalu.

Daripada jumlah itu, hanya 1,729 masih dirawat di hospital.