IPOH 3 Mei – Kesemua sektor perniagaan yang dibenarkan untuk beroperasi pada Isnin nanti perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pembukaan Ekonomi yang diumumkan kerajaan selain terikat dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada.

Ia perlu untuk dipatuhi bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang masih belum bebas sepenuhnya biarpun graf kes-kes sedia ada menurun.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, secara amnya kerajaan negeri menyambut baik pengumuman kerajaan untuk membuka semula ekonomi negara dengan membenarkan industri dan aktiviti perniagaan beroperasi secara menyeluruh.

Tegas beliau, penguatkuasaan Akta 342 masih diteruskan dan buat masa ini pergerakan orang ramai masih tertakluk dalam tempoh antara 8 pagi sehingga 8 malam.

”Empat perkara yang perlu dipatuhi ialah tiada pergerakan rentas negeri atau daerah, kawalan pergerakan, mengamalkan jarak sosial dan memakai topeng muka kepada individu yang bergejala.

“Kita masih perlu mematuhi arahan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Walaupun data di negeri Perak menunjukkan tiada kes baharu dilaporkan untuk tempoh 15 hari berturut-turut, namun terdapat 15 mukim dan sub mukim yang masih belum bebas daripada kes dalam tempoh 28 hari (2 tempoh inkubasi).  

Bagi tujuan kawalan juga kerajaan negeri masih tidak membenarkan pembukaan penjaja tepi jalan, warung, kedai makan, restoran atau kenderaan saji kecuali bagi pembelian bungkus dan penghantaran.

Turut dilarang ialah operasi pasar segar tanpa premis serta aktiviti riadah di taman-taman rekreasi awam sepanjang tempoh PKP.

Tambah Ahmad Faizal, pejabat-pejabat kerajaan negeri bagaimana pun akan buka bermula Isnin ini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam di negeri Perak berada dalam keadaan baik dan efektif.

“Wabak Covid-19 masih menjadi ancaman kepada kita semua, justeru langkah-langkah pencegahan masih perlu diteruskan dengan disiplin yang tinggi,” ujar beliau.