IPOH- Negeri Perak mencatatkan 1,351 kes Demam Denggi bagi tempoh Januari hingga 2 Mei 2020 berbanding dengan hanya 1,214 kes dilaporkan pada tempoh sama tahun 2019, iaitu sebanyak 11.3 peratus peningkatan pada tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dato' Dr Ding Lay Ming berkata Daerah Kinta mencatatkan bilangan kes tertinggi pada tahun 2020, iaitu sebanyak 776 kes, diikuti daerah Batang Padang 126 kes dan Larut Matang Selama (LMS) ketiga tertinggi dengan catatan sebanyak 96 kes Demam Denggi.

"Daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi kes Demam Denggi, iaitu peningkatan sebanyak 135 peratus berbanding sehingga minggu yang sama pada tahun 2019.

"Lima dari enam lokaliti hotspot Denggi adalah dari daerah Kinta, iaitu Kampung Chepor Tambahan (19 kes), Kampung Tersusun Batu 10 (25 kes), Taman Klebang Jaya (11 kes), Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 (30 kes) dan RPT Chepor (19 kes). Terdapat satu lokaliti hotspot Denggi di daerah Batang Padang iaitu Taman Bukit Hijau (17 kes).

"Sehingga 2 Mei 2020, satu kematian Demam Denggi telah didaftarkan di Daerah LMS pada awal Januari 2020", katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Menurutnya sikap sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram di tempat – tempat awam, serta tidak endah  dengan kebersihan sekeliling adalah penyumbang utama kepada pembiakan nyamuk Aedes dan Demam Denggi.

"Pada tahun ini, sehingga 2 Mei 2020, sebanyak 4484 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes telah ditemui di Negeri Perak.

"Pihak Jabatan Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah melaksanakan pelbagai usaha begitu juga tindakan penguatkuasaan bagi membendung kejadian Demam Denggi di kawasan-kawasan yang dikenalpasti", katanya.