IPOH - Seramai 45,734 petugas barisan hadapan di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dilaksanakan sehingga semalam.

Jumlah tersebut menjadikan pelaksanaan fasa pertama program tersebut di Perak yang dijangka selesai pada 31 Mac ini sudah mencapai kira-kira 97.5 peratus.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu seramai 22,120 terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala 23,614 kakitangan jabatan lain yang turut terlibat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan Covid-19.

Menurut beliau, daripada segi liputan pemberian vaksin mengikut daerah pula, hampir semua daerah di Perak merekodkan tahap 100 peratus bagi tempoh fasa pertama kecuali Kampar sebanyak 98 peratus dan Kinta (93.4).

“Bagaimana pun, kerajaan negeri yakin pelaksanaan pemberian vaksin fasa pertama program tersebut di Perak akan mencapai tahap 100 peratus sebelum bermulanya fasa kedua pada 1 April ini.

“Bagi fasa kedua, sebanyak 31 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan beroperasi di negeri ini dengan sasaran pemberian vaksin kepada 559,000 penduduk,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, jumlah individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera di Perak kini mencecah 406,380 orang atau 21.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Perak sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan jumlah pendaftaran termasuk menggiatkan lagi kempen kesedaran melalui kolaborasi jabatan dan agensi yang terlibat.