KUALA LUMPUR - Lebih enam juta individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian data terbaharu di Twitter memaklumkan, seramai 6,020,358 individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin setakat hari ini.

Ia meliputi 24.8 peratus daripada lebih 24.3 juta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang disasarkan menerusi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Jumlah itu diperoleh dalam tempoh 25 hari selepas pendaftaran melalui MySejahtera mula dibuka pada 23 Februari lalu dengan purata lebih 240,000 pendaftaran sehari.

Pendaftaran paling banyak mengikut jumlah populasi adalah di Putrajaya apabila 73.8 peratus atau 41,989 daripada keseluruhan penduduk berusia 18 tahun ke atas di wilayah itu sudah mendaftar.

Perak berada pada tempat ke-10 dengan mencatat 21.7 peratus atau 419,451 orang.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyasarkan untuk memvaksin kira-kira 80 peratus populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas menjelang suku pertama tahun depan bagi mencapai imuniti kelompok terhadap wabak berkenaan.

Malaysia kini berada dalam fasa pertama program imunisasi yang menyasar untuk memvaksin kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hinga April depan.

Fasa dua imunisasi, yang bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan, untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa tiga pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.