KKM Terima 8,380 Panggilan Sepanjang PKP - Masalah Emosi Catat Peratus Tertinggi
- Details
- Kesihatan
- Hits: 801
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 8,380 panggilan melibatkan pelbagai isu dengan masalah emosi mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 46.8 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, panggilan itu diterima KKM sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga semalam.
Menurutnya, panggilan kedua tertinggi adalah berkenaan wabak Covid-19 dengan 20 peratus diikuti bantuan keperluan asas (6.9 peratus), masalah keganasan rumah tangga dan perhubungan (6 peratus), masalah psikiatri iaitu kemurungan dan juga keresahan (2.4 peratus) serta penderaan kanak-kanak (2.02 peratus).
Masalah tersebut dikesan ekoran kebimbangan, kemarahan akibat pelbagai faktor sosial seperti masalah kewangan, tiada pendapatan serta berselisih faham dengan keluarga.
"Justeru, KKM sentiasa komited memberikan bantuan berdasarkan masalah yang dihadapi oleh individu-individu terbabit.
"Kalau isu COVID-19, kita akan berikan penerangan tepat supaya mereka faham dan tidak bimbang.
"Apa yang penting semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Berikutan itu, beliau menasihatkan mereka yang mempunyai sebarang masalah dan aduan boleh berhubung dengan doktor dan kakitangan KKM.
"Mereka boleh mendapatkan kaunseling secara dalam talian dan kita akan sentiasa bersedia untuk memberikan maklumat mengenai situasi terkini berhubung Covid-19," jelasnya.