KUALA KANGSAR – Khasiat madu kelulut serta pengambilannya sebagai makanan kesihatan tambahan sememangnya tidak disangkal lagi.

Kandungan antioksidan dan manfaat vitamin C yang terdapat pada madu kelulut juga baik untuk mengatasi flu dan demam termasuklah dalam mencegah wabak Covid-19.

Pengusaha madu kelulut, Dailami Zahari, 40, berkata, kelebihan madu kelulut yang mengandungi khasiat tiga kali ganda berbanding madu biasa lebih berkesan walaupun sifatnya kurang pekat.

Menurut beliau, sistem imun seseorang sebenarnya bergantung bagaimana dia menjaga kesihatannya, termasuklah dengan mengambil makanan yang merupakan sumber antioksidan dan vitamin penting.

“Hanya 30 minit selepas diambil madu ini akan berada pada darah dalam tubuh kita. Ia pantas diserap oleh badan.

“Pengambilan madu kelulut setiap hari menjadikan seseorang tidak mudah letih kerana kandungan antioksidan lebih tinggi berbanding madu lebah biasa, sekali gus membantu mencegah sesuatu penyakit," katanya yang mengusahakan ternakan lebah kelulut sejak kira-kira tiga tahun lalu di Kampung Rambai Tujuh dekat sini.

Beliau yang juga anak kelahiran kampung tersebut kini memiliki 400 sarang kelulut yang diternak di kawasan seluas 6.07 hektar yang terletak di dalam kebun getah dan dusun buah-buahan.

Dailami berkata, setiap sarang boleh menghasilkan antara dua hingga tiga kilogram madu asli yang dituai menggunakan sejenis alat penyedut khas tanpa mengusik sarang induknya.

Lebih istimewa, beliau juga mengamalkan kaedah hanya menuai madu selepas menerima tempahan pelanggan bagi menjaga kesegaran dan kualiti madu kelulut.

Dailami juga ketika ini antara pengusaha madu kelulut yang terbesar di negeri Perak yang bergerak secara bersendirian.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut  bolehlah menghubungi syarikat Rambai Emas Enterprise di talian 019-5923075.