Ipoh - Kita sentiasa memastikan pes masakan tidak mengandungi bahan pengawet, bebas kolestrol, halal dan menggunakan bahan semulajadi serta segar.

Sumber makanan yang sihat dan berkhasiat menjadi misi penghasilan produk pes masakan berjenama 'SnugFood'.

Inilah rahsia kejayaan tiga sahabat dari serumpun bangsa berbeza. Romie Akmali Mohd Nor, 44, Carolyn Tan Ai Ling, 43 dan suami S. Govin, 46, bersama-sama membangunkan syarikat SF Samudra Venture yang telah menghasilkan empat jenis pes masakan sehingga kini.

Walaupun perniagaan mereka baru setahun jagung, namun berkat keikhlasan menghasilkan produk masakan yang sihat, permintaan pasaran semakin mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat malah sudah ke luar negara. 

Pengarah syarikat, Romie Akmali berkata, antara produk pes masakan yang telah dihasilkan ialah pes sambal nasi lemak, sos sate, 'Penang Hokkien Mee' dan 'Penang Satay Paste' khusus untuk perapan daging atau ayam.

“Idea penghasilan produk ini bermula dari Carolyn selaku pengasas SnugFood yang kini menetap di Pulau Pinang.

"Beliau melihat perubahan cara hidup terutamanya yang berkerjaya tidak mempunyai masa yang banyak di dapur bagi menyediakan menu yang cepat, sihat dan kekal citarasa masakan ibunda.

“Apa yang istimewa, setiap pes SnugFood boleh dipelbagaikan, contohnya sambal nasi lemak boleh dijadikan sambal sotong serta asam pedas, manakala 'Penang Hokkien Mee' pula boleh dijadikan bahan untuk memasak nasi goreng. 

"Paling penting produk ini kurang mengandungi gula dan garam. Kami tidak menggunakan sebarang pewarna, perisa tambahan dan yang paling penting tiada bahan pengawet”, katanya kepada Peraktastic.

Produk SnugFood memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mempunyai pensijilan Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) Kementerian Kesihatan (KKM). 

'Snug' antaranya membawa maksud selesa selain istilah Melayu 'senak' merujuk kepada kekenyangan. SnugFood bukan sahaja terdapat di pasaran tempatan tetapi telah mencecah pasaran antarabangsa.

Menurut Romie Akmali, produk ini turut menjadi kegemaran beberapa artis popular tempatan dan diperkenalkan kepada ‘Youtuber Masakan’, S. Pavithra yang turut meminati pes masakan SnugFood.   

“SnugFood dipasarkan di 30 cawangan di Singapura, malah terdapat sebuah syarikat dari Bahrain yang ingin mengimport produk tersebut ke negara Timur Tengah. 

“Krisis pandemik Covid-19 yang sedang melanda telah menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan. Berikutan itu, kami mengalu-alukan orang ramai untuk menjadi ejen bagi pasaran produk SnugFood. 

“SnugFood boleh dilanggani menerusi platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan Amazon.com atau menghubunginya terus di talian 012-7749595.