Kafe Ah Mat: Sajikan Menu Tradisi Melayu, Sentuhan Kenangan Buat Mamat Khalid
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Makanan Minuman
- Hits: 8661
Sebaik melangkah masuk ke kafe Ah Mat di Jalan Che Tak, Ipoh, keterujaan bertukar kesayuan apabila melihat koleksi peribadi pengarah tersohor, arwah Mamat Khalid di tengah ruang kafe.
Meski baru beroperasi selama sebulan, kafe Ah Mat semakin mendapat sambutan daripada pengunjung berbilang bangsa.
Bukan sahaja keunikan makanan yang disajikan, tetapi di kafe ini mampu menyingkap kenangan terhadap pengarah filem Hantu Kak Limah yang masih mempunyai aura tersendiri.
Pandangan mata setiap pengunjung pasti tertumpu dikiri dan kanan dinding yang mempamirkan poster filem-filem arahan bapanya Mohamad Mohd Khalid atau Mamat Khalid.
Pemiliknya, Nor Sara Mohamad, 32, anak kedua Mamat Khalid berkata kafe Ah Mat menggabungkan konsep kopitiam tradisional dan memorabilia.
“Nama kafe ‘Ah Mat’ diambil sempena nama anak sulung saya iaitu Mohd Ihsan Khalid Amrul Ariff, yang kini berusia satu tahun tiga bulan.
“Nama Ah Mat sesuatu yang unik pada kami dalam menguatkan ikatan keluargaan terutamanya kenangan yang sentiasa segar terhadap papa (Mamat Khalid).
“Menu-menu di sini hampir kesemuanya makanan kegemaran papa dan saya bersyukur ianya diterima oleh semua pengunjung berbagai bangsa,” katanya yang mengusahakan kafe Ah Mat bersama suaminya, Amrul Ariff.
Tambahnya lagi, untuk permulaan sebanyak sembilan menu makanan, 18 jenis minuman dan empat jenis kuih muih tradisional disajikan untuk pengunjung.
Paling menarik di kafe Ah Mat ini, harga setiap menu sangat berpatutan dan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat. Boleh dikatakan harga yang dikenakan adalah harga paling rendah di antara kafe yang ada di bandaraya Ipoh.
Antara menu-menu utama yang mendapat sambutan ialah Lontong + Kuah Lodeh (7.50), Longtong + Serunding Jawa (RM5.00), Assam Laksa (RM8.50), Nasi Lemak Ayam Rempah(RM7.50), Nasi Lemak Sambal Sotong(RM.8.50), Lempeng Nyor + Sambal Tumis(RM4.00), Mee Kari Kuah Laksa (RM8.00) dan Bubur Kacang+ Roti Bakar (RM4.00).
“Kami akan menukar menu-menu mengikut turutan setiap minggu supaya pengunjung-pengunjung dapat membuat pelbagai pilihan mengikut citarasa sendiri.
“Setelah sebulan beroperasi, sambutan dari orang ramai sangat menggalakkan. Citarasa masyarakat Melayu tradisional ternyata masih menjadi pilihan utama bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu malah disukai oleh pelbagai bangsa,” ujarnya.
Kafe Ah Mat beroperasi setiap hari kecuali hari Isnin bermula 9.30 pagi hingga 7.00 petang. - PERAKTASTIC-