RIYADH - Masjid Nabawi, Madinah akan dibuka semula kepada orang ramai secara berperingkat, bermula esok.

Perkara ini diumumkan kerajaan Arab Saudi selepas membuat tinjauan persiapan yang dilakukan di setiap masjid terlibat. 

Saudi Gazette melaporkan, langkah berjaga-jaga yang ketat akan dilaksanakan, termasuk dengan mengehadkan bilangan jemaah sehingga 40 peratus untuk satu-satu masa.

Jemaah hanya akan dibenarkan masuk ke dalam masjid bermula waktu solat Subuh esok.

Manakala, laporan Arab News pula memaklumkan, masjid di serata negara itu, kecuali di Makkah, akan membuka ruangnya semula kepada jemaah esok, sebagai sebahagian daripada langkah melonggarkan perintah berkurung yang dikuat kuasakan bagi membendung penularan Covid-19.

Sementara itu, Menteri bagi Ehwal Agama, Dr Abdullatif Abdulaziz Al-Sheikh berkata, 

sepanjang pemeriksaan yang dijalankan, mereka  mendapati semua masjid kini selesai membuat persiapan dan berada dalam keadaan baik. 

Kementerian juga menyarankan jemaah yang berada masjid supaya membaca al-Quran di telefon pintar masing-masing atau membawanya dari rumah, selain menggunakan sejadah sendiri dan patuh penjarakan sosial dua meter.

Mereka berusia di bawah 15 tahun dilarang menunaikan solat di masjid dan jemaah dituntut memakai penutup muka, elak berjabat tangan dan bersesak di pintu masjid bagi mengelakkan penularan wabak tersebut. 

 

SUMBER AGENSI