TAIPING - Burung Botak Upeh atau nama saintifiknya ‘Mycteria Cinerea’ tergolong dalam spesis terancam kini berjaya dibiak dan hidup bebas di Zoo Taiping.

Kemampuan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dalam usaha membiak haiwan yang hampir pupus ini adalah usaha yang memberangsangkan dan membanggakan selaras dengan objektif ke arah zoo bertaraf dunia.

Pengarah ZTNS, Dr Kevin Lazarus berkata, kejayaan membiakkan spesis burung ini  dipengaruhi oleh pengamalan aktiviti yang mementingkan penjagaan, kebajikan haiwan dan pembiakan beberapa spesis haiwan tempatan yang terancam untuk pelepasan semula ke habitat.

“Burung ini berjaya menghasilkan 12 sarang di dalam kawasan  pameran hutan tebing sungai. Terdapat empat sarang mempunyai anak burung yang sudah menetas. Namun bilangan anak masih belum dikenalpasti. 

“Kini ZTNS mempunyai 36 ekor burung di dalam kurungan dan 20 ekor di luar kurungan (free ranging). Kesemua sarang berada dalam keadaan baik dan sentiasa dipantau rapi oleh kakitangan zoo dari semasa ke semasa. 

“Program konservasi Burung Botak Upeh di ZTNS bermula sejak tahun 2005, selepas zoo menerima dua ekor burung itu dari Jurong Bird Park, Singapura dan pada tahun 2009 kita menerima sepuluh ekor lagi dari Zoo Negara, Ulu Kelang”, ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, ZTNS berjaya melakukan dua program pelepasan burung iaitu sepuluh ekor pada tahun 2016 dan empat ekor pada tahun 2017. Daripada 14 ekor itu, enam ekor anak telah berjaya dibiak pada tahun 2018 dan 2019. 

ZTNS sentiasa memastikan kesemua haiwan mendapat perlindungan yang bersesuaian, persekitaran yang menyamai habitat asal, penjagaan kesihatan berterusan dan makanan yang mencukupi. Di samping itu pemantauan perkembangan fizikal dan mental juga dirangsang dengan baik. 

“Ini adalah satu lagi berita gembira selepas kita berjaya menyambut kelahiran tiga ekor anak harimau Malaya pada 12 April lalu. Paling membanggakan pembiakan Burung Botak Upeh berlaku sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana tiada sebarang gangguan pengunjung," jelasnya.