PUTRAJAYA - Pembukaan gelembung pelancongan di Langkawi menyaksikan sebanya 149 kes positif Covid-19 dikesan menerusi ujian saringan sepanjang tempoh dua minggu tersebut bermula 16 September.

Daripada jumlah itu, pemeriksaan susulan mengesan seramai 186 individu sebagai kontak rapat kepada kes positif serta telah diasingkan dan diberi pengawasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, secara kumulatif seramai 40,458 orang telah disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.

Menurut beliau, 34,038 orang disaring di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 orang melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

"Kementerian Kesihatan (KKM) bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi akan terus memantau perkembangan jangkitan serta langkah pencegahan sewajarnya.

"Seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, lebih banyak kawasan gelembung pelancongan dijangka akan dibuka bermula Oktober ini ," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Noor Hisham berkata, KKM akan terus menjalankan kerjasama dengan MOTAC dalam menjalankan penilaian risiko bagi membolehkan lebih banyak lagi tempat pelancongan dibuka dari semasa ke semasa.

Ujarnya, KKM menyeru semua rakyat bersama-sama memainkan peranan dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik serta mengamalkan pematuhan SOP yang tinggi.

"Sekiranya bergejala sama ada semasa tempoh melancong atau setelah pulang dari kawasan pelancongan, segera dapatkan rawatan awal.

"Atau akukan ujian kendiri bagi membendung penularan Covid-19," tegasnya.