Tasik Temenggor, Royal Belum boleh dikunjungi
- Details
- Sheqal Danish
- Pelancongan
- Hits: 933
IPOH - Setelah hampir 19 bulan terpaksa menutup operasi bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akibat penularan wabak Covid-19 sejak Mac tahun lalu, akhirnya pengusaha produk pelancongan di Tasik Temengor terutamanya pengendali rumah bot dapat menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi bermula hari ini (8 Oktober).
Pembukaan sektor pelancongan ini akan memberikan sinar baharu kepada mereka selain dapat membantu mempertingkatkan ekonomi komuniti setempat setelah sekian lama suram kerana tidak menerima pelancong.
Tourism Perak Management Berhad dalam kenyataannya memberitahu, bagaimana pun kelonggaran bagi aktiviti pelancongan ini tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi.
Menurut kenyataan itu, mana-mana pengusaha perkhidmatan rumah bot yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Jabatan perikanan;
“Pengusaha diwajibkan menyediakan kemudahan mengimbas kod QR MySejahtera, buku pendaftaran kehadiran pelanggan sekiranya tiada liputan internet selain pemeriksaan status MySejahtera iaitu hanya membenarkan pengunjung berstatus Low Risk termasuk Casual Contact Low Risk sahaja.
“Proses nyahkuman dan pembersihan premis hendaklah dilaksanakan 3 kali sehari dalam tempoh operasi terutamanya di Kawasan umum seperti surau, tandas, stor dan kaunter.
“Kebenaran bermalam bagi rumah bot mestilah dalam kawasan Taman Negeri DiRaja Belum selama tiga hari dua malam dengan bilangan tidak melebihi kapasiti bot termasuk jurumudi dan hanya untuk pengunjung berumur 18 hingga 60 tahun,” ujar kenyataan tersebut.
Bagi pengunjung yang ingin memasuki Taman Negeri DiRaja Belum pula, hanya aktviti memancing secara harian tanpa melibatkan bermalam dibenarkan dengan pengunjung hanya penduduk negeri ini sahaja.
Pengusaha dan pengunjung telah lengkap divaksinasi perlu mengemukakan salinan sijil sah vaksinasi bersama borang permohonan permit manakala kapasiti penumpang bot adalah 50 peratus daripada kapasiti sebenar.
“Aktiviti ke perkampungan Orang Asli pula tidak dibenarkan.
“Bagaimana pun, SOP yang disediakan ini adalah tertakluk kepada sebarang perubahan yang akan diumumknan dari masa ke semasa oleh kerajaan,” ujar kenyataan berkenaan.