IPOH - Kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak sentiasa berusaha dalam mempergiatkan dan menyemarakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata, sejajar dengan pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, pelbagai inisiatif telah diambil untuk mengembalikan keyakinan para pengunjung dan pelancong supaya kembali melancong ke negeri Perak.

"Penganjuran acara Perak Scavenger X Geo-Wonders Virtual Run 2021 bermula pada 20 Oktober hingga 20 November 2021 di beberapa lokasi tumpuan pelancong seluruh Perak antara acara yang menarik perhatian ramai.

"Acara sukan secara maya ini diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-3 Geopark Lembah Kinta yang disambut pada 25 Oktober setiap tahun," katanya menerusi sidang media Perak Scavenger Virtual Run 2021 secara maya semalam.


Menurutnnya, penganjuran acara ini juga dilihat dapat membantu mempromosikan geo-tapak yang menekankan konsep pembangunan lestari merangkumi penekanan kepada keseimbangan fizikal, pembangunan dan pengurusan.

“Antara 17 lokasi terpilih seperti Kellie’s Castle di Batu Gajah, Bagan Datoh, Teluk Intan, Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 (TT5), Taman Tasik Taiping dan Teluk Batik, Lumut.

“Lokasi lain ialah Tambun di Ipoh, Bandar Muallim, Gua Tempurung (Gopeng), Parit 11, Gunung Lang, Lata Ulu Chepor, Gunung Panjang,Gua Batu Giring, Gua Kandu, Kampar dan  Kuala Kangsar,” ujarnya.

Yuran penyertaan pula sebanyak RM30 bagi peserta dan para peserta akan diberikan cenderahati berupa baju-T edisi khas acara dan sijil penyertaan.

Nurmalis menambah, Kerajaan Negeri juga telah merancang beberapa acara lain yang mampu memberi impak kepada pemulihan sektor pelancongan sepanjang bulan November hingga Disember 2021 seperti #TravelPerakLah Surfcasting Challenge 2021 yang akan dijalankan pada 20 November 2021.

Turut dirancang ialah program promosi MATTA Fair pada 20-21 November 2021, Perak International Sea Challenge 2021 pada 10-12 Disember 2021 dan lain-lain lagi.

"Penganjuran acara seumpama ini diharap membantu mengaktifkan semula sektor pelancongan domestik dan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi masyarakat setempat setelah terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya.