IPOH- Pulau Pangkor mengungguli sebagai  lokasi percutian pilihan paling popular selepas pembukaan semula sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammad Radzi berkata berpandukan data yang dikeluarkan, Pulau Pangkor menunjukkan prestasi tertinggi iaitu sebanyak 78.0% tempahan penginapan  melibatkan 53 buah hotel yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, 1156  bilik dan 900 tempahan dari pelawat sepanjang tempoh 10-17 Oktober 2021.

“Berpandukan kepada itu, ia menunjukkan satu perkembangan yang positif ke arah pemulihan industri pelancongan khususnya di negeri Perak.

“Negeri Perak masih kekal sebagai lokasi pilihan percutian samada perseorangan mahupun secara berkumpulan. Negeri Perak mempunyai pelbagai pilihan produk pelancongan yang mampu memenuhi citarasa yang berbeza mengikut kehendak pelawat yang datang.

“Tourism Perak akan mempergiatkan lagi promosi-promosi khususnya melalui #travelperaklah baucer dan juga akan melangsungkan pelbagai acara bagi memeriahkan semula  industri pelancongan negeri ini. Namun ianya akan dapat dilansungkan sekiranya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dapat dikekalkan dan dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya sewaktu sidang media sempena Majlis Mesra Puhaz Bersama Kerajaan Negeri Perak dan Penyampaian Insentif Dana/Baucer & Keahlian Puhaz, di sini, hari ini.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Ipoh, turut mencatatkan tempahan penginapan sebanyak 50% untuk 15 buah bilik melibatkan 4000 buah bilik bagi tempoh yang sama.

Begitu juga bagi hotel-hotel di kawasan Majlis Pembandaran Taiping (MPT) mencatat 56.0% yang menerima sebanyak 3124 tempahan penginapan dengan jumlah 5553 buah bilik.

Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) pula mencatatkan 46.1% yang melibatkan kawasan bandar, Ipoh, Tanjung Malim, Tapah, Manjung, Kuala Kangsar dan Taiping.

Menurut Nolee Ashilin, menerusi lawatannya ke Jeti Lumut, Jeti Marina Island dan Jeti Pulau Pangkor baru-baru ini, beliau mendapati masalah kesesakan di kesemua pintu masuk itu telah dapat dapat di atasi dengan baik dan berkesan.

“Orang ramai yang berhasrat untuk berkunjung ke Pulau Pangkor, digalakkan menempah tiket feri secara dalam talian bagi mengurangkan kesesakan seterusnya menjamin keselamatan di sepanjang percutian,” katanya.