IPOH - Tasik Cermin menjadi daya tarikan pelancongan unik ke bandaraya Ipoh yang tiada di tempat lain apabila secara rasmi dibuka kepada pengunjung.

Tasik Cermin Eco Park Ipoh seluas 65 ekar yang terletak di Gunung Rapat ini juga merupakan taman eko kuari yang pertama di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin binti Mohammed Radzi berkata, lokasi tersebut menawarkan pengalaman pelancongan unik dengan keindahan alam sekitar.

Menurut beliau, Tasik Cermin merupakan kawasan kuari yang sudah lama dan tidak lagi beroperasi yang mempunyai dua tasik dan dua terowong yang unik.

"Sehubungan itu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melantik Syarikat Tasik Cermin Tourism Sdn. Bhd. untuk membangunkan lokasi ini.

"Pembangunan Tasik Cermin Eco Park Ipoh yang berkonsepkan rendah karbon menggunakan bahan mesra alam kerana lokasinya merupakan salah satu daripada 19 geotapak yang terletak di dalam Geopark Lembah Kinta," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pra pelancaran Tasik Cermin Eco Park di Tasek Cermin pagi tadi.

Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Jelas Nolee, dengan adanya kerjasama awam dan swasta dalam membangunkan kawasan geotapak seperti ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri memelihara dan mempromosi Geopark Lembah Kinta sebagai salah satu Geopark Kebangsaan yang utama di Malaysia.

Katanya lagi, pelbagai pembangunan pelancongan berasaskan eko telah dirancang yang dibahagikan kepada beberapa Fasa.

"Pembangunan Tasik Cermin bakal membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan pada yang sama pihak pemaju juga sedang melatih Orang Asli sebagai sumber tenaga kerja.

Pihak pemaju juga telah bekerjasama dengan beberapa agensi usahawan untuk membuka peluang kepada usahawan bumiputra mengambil peluang perniagaan yang ditawarkan dalam pembangunan di sini," ujarnya.