IPOH - Istimewanya bandaraya Ipoh berbanding bandar negeri lain ialah keunikan mempunyai kawasan rekreasi berteraskan alam fauna yang unik. Misalnya ialah trek masuk ke Gunung Korbu melalui Ulu Kinta.

Gunung Korbu, puncak kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia ini adalah antara tanah tinggi yang menjadi senarai mesti pada kelompok pendaki.

Tidak seperti kebanyakan gunung lain, ada kalangan pendaki yang memberi pesan supaya lengkapi dengan persediaan secukupnya sebelum berhajat menawan puncak Korbu.

Dengan ketinggian kira-kira 2,183 meter, ia puncak kedua selepas Gunung Tahan dan merupakan puncak tertinggi Banjaran Titiwangsa.

Menurut buku 'Malaya and It's History' tulisan Sir R.O. Windstead, nama Gunung Korbu dikatakan diberikan oleh Orang Asli etnik Sakai yang mendiami gunung dan bukit di Kelantan dan Perak.

Korbu bermaksud kerbau.

Menuju ke laluan masuk Gunung Korbu tidak susah jika menaiki kenderaan sendiri, dari Ipoh terus menuju ke Tanjung Rambutan atau lebih tepat ke jalan Kem Pasukan Gerakan Am.

Di situ, ambil jalan terus melalui tepi kem ke Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta yang dikendalikan oleh Jabatan Bekalan Air Kinta.

Jarak dari Tanjung Rambutan ke Gunung Korbu kira-kira 16 kilometer.

Bermula dari Pintu Rimba, pendaki akan menempuhi Air Terjun Balak, Seroja dan Last Water Point sebelum tiba di puncak.

Gunung Korbu mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung.

Malah, pasukan penyelidik seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menjadikan Gunung Korbu sebagai lokasi penyelidikan saintifik.